Friday, November 22, 2013

✿ AKU MENCINTAIMU YA RASULULLAH



✿ HAKIKAT CINTA KEPADA RASULULLAH

Banyak orang yang mengaku dengan mudah bahawa mereka cinta kepada Rasulullah dengan lisan tetapi mereka tidak tahu hakikat dan bentuk daripada cinta tersebut yang sepatutnya lahir tulus dari dalam hati. Ketika umat Islam diperintahkan supaya mencintai Nabi Muhammad saw, itu bukanlah sama sekali kerana Nabi Muhammad saw memerlukan cinta dari umatnya, bahkan Rasulullah tidak memerlukan cinta kita. Cinta manusia kepada baginda tidak akan menambahkan kehormatan dan kemuliaan baginda dan hilangnya cinta manusia kepada baginda juga tidak akan mengurangi kehormatan dan kemuliaan baginda. Rasulullah adalah manusia yang layak kita cintai kerana kemuliaan dan keagungan baginda sudah menjadi kekasih Allah.

Rasulullah menganjurkan kita mencintai baginda, kerana apabila kita mencintai baginda dengan tulus maka perilaku kita akan berusaha menyesuaikan dengan perilaku baginda, berusaha mahu mencontohi akhlak mulianya dan meneladaninya.
·        Dari segi kejiwaan, cinta kepada Rasulullah akan mendorong munculnya semangat mahu mengikuti sunnah dan mencontohi akhlak baginda.
·        Dari segi kemasyarakatan, cinta kepada Rasulullah menjadi symbol kebersamaan dan kesatuan umat Islam.
·        Dari keakhiratan, cinta kepada Rasulullah membawa keuntungan di akhirat kelak.
Bukankah setiap kali kita mencintai sesuatu maka kita akan mengambil tahu semua perkara yang berkaitan dengannya. Malah mungkin kita ingin menghadirkannya selalu dalam liku-liku hidup kita. Cinta laksana air mengalir yang memindahkan seluruh sifat sang kekasih kepada kita yang mencintainya. Maka jadikan Rasulullah sebagai kekasih sejati yang kita cintai. Rasa cinta mempunyai pengaruh yang besar terhadap perilaku kita. Kalau seseorang mencintai sesuatu, maka seluruh perilaku orang tersebut akan dipengaruhi oleh sesuatu itu.

✿ CINTA KEPADA RASULULLAH ADALAH KEWAJIPAN AGAMA

Sebagai mana yang kita sedia maklum, rukun iman ada 6 iaitu :
·                          Beriman kepada Allah swt
·                          Beriman kepada malaikat
·                          Beriman kepada kitab-kitab
·                          Beriman kepada rasul-rasul
·                          Beriman kepada hari kiamat
·                          Beriman kepada qada’ dan qadar

Mencintai Rasulullah  menjadi sebuah kewajipan dalam iman,yang juga merupakan sebuah ketetapan agama. Cinta kepada Rasulullah perlu di iringi dengan cinta kepada Allah swt. Selepas cinta kepada Allah swt, tidak boleh ada kecintaan kepada perkara lain melebihi cinta kepada Rasulullah. Cinta kepada Rasulullah merupakan asas akidah seorang muslim.

Imam Bukhari merekodkan daripada Abu Hurairah, Rasulullah berkata, “ Demi Zat yang jiwaku ada di tanganNya, tidaklah di antara kalian beriman sehingga aku lebih dicintai daripada orang tua dan anaknya.” Cinta kepada Rasulullah harus melebihi cinta kepada keluarga, harta, dan seluruh manusia. Imam Muslim meriwayatkan daripada Anas, Rasulullah berkata, “tidak beriman seorang hamba sehingga aku lebih dia cintai daripada keluarganya, hartanya, dan seluruh manusia”.
Cinta kepada Rasulullah harus lebih tiggi daripada cinta terhadap diri sendiri, kerana Allah menegaskan. “ Nabi itu lebih utama bagi orang-orang mukmin dan ukuran diri mereka sendiri”.  ( surah al-Ahzab ayat 6)
Rasulullah sendiri pernah berkata, keimanan seorang muslim harus diukur dengan cinta kepada Rasulullah. “ Tidak beriman seseorang sehingga aku lebih dia cintai berbanding dirinya sendiri”.

Suatu ketika Rasulullah berjalan bersama Umar bin Khattab. Tiba-tiba Umar berkata kepada baginda, “ Wahai Rasulullah, sesungguhnya engkau lebih aku cintai daripada segala sesuatu kecuali diri sendiri”. Maka Nabi berkata, “ Tidak wahai Umar, demi Zat yang jiwaku ada di tanganNya, sehingga aku lebih engkau cintai daripada dirimu sendiri”. Mendengarkan jawapan itu, Umar segera membetulkan kata-katanya seraya berkata, “Sesungguhnya sekarang engkau lebih aku cintai daripada diriku sendiri”.

Imam Ali bin Abi Thalib, ketika ditanya bagaimana cintanya kepada Rasulullah, “sungguh , demi Allah baginda lebih aku cintai dari semua hartaku, anak-anakku, ayahku, ibuku dan daripada air dingin yang menyegarkan kala dahaga”. Tanpa kecintaan kepada Rasulullah, seluruh bangunan keagamaan kita akan runtuh. Bagaimana kita dapat meneladani Rasulullah tanpa pada dasarnya kita cinta kepada baginda. Di dunia ini, Rasulullah adalah syafi ( member syafaat, pertolongan dan penghubung ) antara makhluk dengan Tuhannya. Kalau kita ingin merasakan kehadiran Allah swt dalam diri kita, maka hadirkanlah Rasulullah di hati kita. Begitu juga sebaliknya, jika kita ingin dicintai Allah, maka cintailah Rasulullah.

✿ JALAN CINTA KEPADA RASULULLAH

Cinta itu dapat dibina dan dapat ditanamkan. Salah satu cara menanamkan kecintaan kita kepada Rasulullah adalah dengan berusaha mengenalnya. Permulaan cinta itu adalah mengenalinya. Bak kata pepatah, tidak kenal, maka tidak cinta. Kita lebih cenderung mencintai perkara-perkara yang kita kenal dengan baik. Bagi mengenal Rasulullah, harus bermula dengan membaca riwayat hidupnya, akhlak, dan perjuangannya. Jika kita tidak kenal Rasulullah, maka kita tidak akan menyukainya. Oleh itu, usaha orang munafik dan kafir dalam usaha mereka menghancur dan merobohkan tunggak Islam adalah dengan mengasingkan umat Islam daripada Rasulullah. Mereka juga memperkenalkan Rasulullah sebagai peribadi yang penuh dengan sikap negative yang bertujuan rasa cinta itu luntur dan hilang. Apabila rasa cinta kepada Rasulullah itu hilang, maka runtuhlah seluruh tunggak agama ini.

✿ TANDA-TANDA ORANG YANG MENCINTAI RASULULLAH

Terdapat banyak tanda-tanda seseorang itu benar-benar mencintai Rasulullah, antaranya :
1.     1. Tidak akan malu menyatakan rasa cintanya dengan lisan.
Iaitu mereka tidak malas dalam mengucapkan selawat ke atas Nabi Muhammad saw, dan tidak segan memuji kemuliaan dan akhlak baginda.

2.    2.  Merindukan pertemuan dengan baginda lebih dari segalanya.
Demikian ditunjukkan oleh kaum Ansar yang mana penuh rasa gembira semasa menyambut kedatangan Rasulullah dari kota Mekah menuju Madinah. Hampir setiap pagi mereka pergi ke perbatasan kota menunggu kedatangan nabi dan tidak pulang ke rumah sehingga panas terik mentari mengusir mereka.
Pada suatu hari, kerana lama menunggu, mereka kembali ke rumah masing-masing, seorang yahudi yang mendaki tempat tinggi di salah satu benteng tiba-tiba melihat sekelompok orang berpakaian putih menerobos fatamorgana. Tanpa di sedari, orang yahudi itu berteriak dengan suara yang amat keras. “ wahai orang-orang Arab, itulah pemimpin yang kalian nantikan.” Maka orang Ansar berhampuran keluar dari rumah masing-masing. Di tengah terik panasnya padang pasir, mereka menyambut kedatangan Rasulullah. Subhanallah!

3.   3.   Bersedia bekorban kerana pengorbanan adalah puncak penyataan cinta.
Terdapat banyak kisah yang menceritakan kepada kita akan pengorbanan-pengorbanan sahabat-sahabat baginda terdahulu.
·        Abu Bakar rela menyerahkan semua hartanya kepada Rasulullah dalam membantu dakwah Islam.
·        Ammar bin Yasir diseksa dan kehilangan kedua orang tuanya yang dibunuh oleh kaum kafir Quraisy di depan matanya.
·        Ali bin Abi Thalib menjadikan nyawanya sebagai taruhan dengan tidur di tempat pembaringan Rasulullah bagi mengaburi mata musuh semasa Rasulullah dikepung oleh kaum kafir Quraisy pada malam menjelang hijrah ke Madinah.
·        Abu Talhah menjadikan nyawanya sebagai taruhan apabila lehernya terkena anak panah musuh dan melarangi Rasulullah menunjukkan dirinya dari musuh semasa Perang Uhud.
·        Abu Dujanah menjadikan dirinya sebagai perisai Rasulullah dengan merangkul baginda sehingga anak panah menusuk seluruh tubuhnya sedang dia tidak berganjak walau sedikit pun.
4.    4.  Harus tunduk terhadap perintah dan menjauhi larangan baginda.
Allah menyatakan, “sesungguhnya jawapan orang-orang Mukmin, apabila mereka dipanggil kepada Allah dan rasulNya supaya rasul menghukum ( mengadili ) di antara mereka ialah ucapan. ‘kami dengar dan kami patuh’ dan mereka itu orang-orang yang beruntung.”  (Surah an-Nur ayat 5)

5.     5. Bantu menegakkan Islam dan menyokong pelaksanaan syariat.
Allah menegaskan, “di antara orang-orang Mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang mereka janjikan kepada Allah, maka di antara mereka ada yang gugur dan di antara mereka ada yang menunggu dan mereka sedikit tidak mengubah ( janjinya ).”   ( surah al-Ahzab ayat 23 )

✿ CINTA KEPADA RASULULLAH MEMBAWA MANUSIA KE SYURGA

Syurga itu dapat diraih dengan adanya rasa cinta yang tulus kepada Rasulullah. Sebuah hadis Nabi menyebutkan “barang siapa yang mencintaiku, kelak dia akan berada di syurga bersamaku”. Imam Bukhari merekodkan, Suatu ketika seorang Arab Badwi datang menemui Rasulullah lalu bertanyakan perihal Hari Kiamat. Rasulullah berkata, “Apa yang sudah engkau persiapkan bagi hari itu,” orang Badwi itu menjawab, “Ya Rasulullah, aku tidak memiliki apa-apa, tetapi aku mencintai Allah dan rasulNya”. Mendengarkan jawapan itu, Rasulullah berkata, “Engkau bersama orang yang engkau cintai”.

Sollu alan nabi..
Yang baik itu datangnya dari Allah swt, dan yang buruk itu datangnya dari diri ana sendiri. Sekian, wassalamualaikum ^_^


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...