Friday, December 20, 2013

✿ HIMMAH KEIMANAN


Assalamualaikum, apa khabar himmah kalian hari ini ? Adakah ia berada sejajar dengan matlamat atau puncak hasrat kita dijadikan didunia ?

✿ APA ITU HIMMAH ?
Adakah kita sama-sama masih bersemangat bagi melakukan peningkatan dalam diri?
Apa yang dimaksudkan dengan himmah adalah perkataan yang mempunyai segumpal kekuatan, bukannya kekuatan yang biasa-biasa tetapi kekuatan yang luar biasa.
Siapa pun yang ingin lakukan peningkatan dalam dirinya, maka dia perlu bertanyakan kepada dirinya sendiri saban hari, adakah hari itu dia benar-benar memiliki himmah yang tinggi untuk lakukan perubahan demi perubahan ?
Tetapi tidak cukup dan terhenti dengan bertanyakan pada diri tanpa usaha dalam melakukan peningkatan bagi membuktikan kita memiliki himmah yang tinggi. Amatlah pelik sekiranya kita mahukan syurga yang tinggi tetapi memiliki himmah yang rendah.
Ibnul Qayyim dalam Madarijus Salikin berkata, “ Himmah adalah puncak hasrat, secara khusus orang-orang mengertikannya sebagai puncak hasrat. Manakala hammu pula adalah permulaan hasrat. Beliau berkata lagi, “ cita-cita yang tinggi itu tidak akan berhenti pada selain Allah, tidak akan dapat ditukar oleh sesuatu pun selainNya, tidak akan puas kepada yang lain sebagai gantiNya, dan tidak akan menjual segala kurniaan Allah berupa kesenangan, kegembiraan dan kebahagiaan dengan sesuatu yang hina dan fana”.

✿ DI MANA HIMMAH BERTAPAK ?
Jawapanya adalah hati. Himmah adalah pekerjaan hati dan yang dapat menguasai diri adalah pemiliknya sendiri. Sebagaimana Allah SWT menjadikan sepasang sayap kepada burung untuk terbang sebagai kekuatan, manakala manusia terbang dengan himmah atau hasratnya yang akan membawanya ke puncak tertinggi.
Jiddiah, adalah asas kepada jiwa yang berhimmah. Jiddiah ini membawa maksud kesungguhan, ketekunan, dan semangat yang membara dalam jiwa. Himmah dalam hati kita perlukan istiqamah. Istiqamah yang kita difahamkan adalah bermaksud berterusan, tetapi istiqamah sebenar-benarnya membawa maksud usaha yang berterusan dan melakukan peningkatan dalam masa yang sama. Namun pernahkah kita berasa lesu, malas dan penat selepas melalui detik-detik jiwa yang membara dan penuh bersemangat ? Jiwa yang dahulunya berkobar-kobar dan menyala-nyala dengan kehendak yang tinggi malah teruja, tiba-tiba cetusan sesuatu itu beransur hilang dan akhirnya, yang tinggal hanya kenangan lampau. Sekiranya kita ada perasaan sedemikian, perlu berbalik pada himmah asal kita iaitu puncak hasrat kita sendiri.
Sungguh, sesiapa yang memiliki cita-cita yang membara, jiwa yang teruja, usaha yang giat dan sabar yang berterusan, maka dia memenuhi ciri-ciri manusia yang ulung. Dr. Abdullah ‘Aid Al-Qaryani pernah menyebutkan :
“ sesiapa yang bercita-cita hanya untuk syahwatnya dan mencari kenikmatan hidup semata-mata, maka banyak kegagalan yang akan ditemui, terserlah kekurangan dan terdedah aibnya”.
Cita-cita yang benar dan matlamat yang jelas kerana Allah SWT akan memandu kita bagi melakukan sesuatu perkara itu dengan bersungguh-sungguh dan hasilnya kita memperoleh kejayaan didunia mahupun di akhirat kelak. Allah SWT menyatakan dalam surah Al-Najm, ayat 39 hingga 41,:
“dan bahawasanya seorang manusia tiada perolehi selain apa-apa yang diusahakannya. Bahawasanya usahanya itu kelak akan diperlihatkan. Kemudian akan diberi balasan kepadanya dengan balasan yang paling sempurna”.
Himmah, kesungguhan dan jiddiah yang di maksudkan adalah kekuatan iman dalam kehidupan harian kita. Bagaimana kuatnya kita dalam menempuh segala mihnah dan istiqamah dalam melakukan segala yang baik dan meninggalkan perkara yang mungkar. Dan bukanlah himmah yang diceritakan atas perkara yang tidak-tidak.

✿ HIMMAH MELALUI SOROTAN SEJARAH ...nantikan entri akan datang  ^^


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...